Sunday, February 8, 2009

Senaman atasi penyakit

Guys...I think this article is totally good and beneficial for those who want to reduce weight faster or just started to get use to exercise. Actually, all points in this article are true because I went through and now I am ready to get in to my shape!


TIDAK kenal maka tidak cinta, sudah cinta ketagih pula. Inilah kata-kata Pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Zulkifli Abdul Kadir ketika ditanya mengenai senaman.

Baginya, jika sehari tidak bersenam, bagai ada yang tidak kena; seolah-olah kehilangan satu nikmat hidup. Apabila kita bersenam, badan menghasilkan hormon endorfin yang membuatkan kita tenang, selesa dan badan pula terasa ‘sedap’.

Bersenam pula mesti dilakukan dalam kuantiti betul, tidak terlalu sedikit dan tidak berlebihan. Jika terlalu sedikit, kesannya kurang dirasai dan jika berlebihan pula akan menyebabkan kita keletihan dan mengantuk.

Sebenarnya, semua orang tahu manfaat bersenam, tetapi mengapa masih ramai sangat liat untuk melakukannya? Menurut Zulkifli, perkara paling sukar dilakukan di dunia ialah mengubah tabiat seseorang. Hanya kesedaran dan pengetahuan boleh membuatkan seseorang itu berubah.

Dia memberi contoh isterinya yang sebelum ini mempunyai tanggapan negatif terhadap senaman hinggalah disahkan mengalami masalah tekanan darah tinggi peringkat awal (antara 140/90 mmHg) dan diberi ubat untuk menurunkan tekanan darahnya.

Ketika itu baru isterinya mendapatkan nasihat Zulkifli untuk mengajarnya bersenam — semuanya gara-gara tidak mahu makan ubat. Permintaan itu diterima dengan hati gembira kerana Zulkifli berpendapat, pengambilan ubat untuk merendahkan tekanan darah adalah jalan singkat dan hanya mempunyai kesan jangka pendek.

“Saya nasihatkan isteri supaya tidak menolak jika doktor mahu memberinya ubat merendahkan tekanan darah. Lagi pula, ia baru masuk peringkat awal tekanan darah tinggi dan masih boleh ‘diperbaiki’ dengan cara lain.

“Kalau boleh, memang saya tidak mahu isteri bergantung kepada ubat untuk menyelesaikan masalahnya kerana perkara itu boleh diatasi dengan cara lebih sihat, mudah dan selamat iaitu bersenam.

“Selepas dua minggu bersenam, dia mula seronok dan tekanan darahnya kembali ke paras normal. Dia tidak sangka rupa-rupanya bukan susah sangat untuk menjaga dan mengekalkan kesihatan. Yang penting perlu ada pengetahuan, kesungguhan dan kecekalan,” katanya.

Bagi Zulkifli, senaman adalah kaedah penjagaan kesihatan paling baik, murah dan selamat. Malah, senaman boleh dianggap ubat sejagat yang boleh merawat dan mengelakkan hampir semua jenis penyakit.

“Senaman memberi keharmonian seimbang kepada badan. Senaman boleh merangsang setiap organ dan sel berfungsi pada tahap optimum. Pada masa sama, ia meningkatkan daya ketahanan badan yang secara tidak langsung dapat mencegah penyakit,” katanya.

Bagi individu yang menghidap penyakit, senaman dapat membantu mengawal dan mengurangkan gejala penyakit. Bahkan, banyak kajian menunjukkan badan pesakit boleh bertindak balas lebih baik terhadap ubat jika program rawatan disertakan dengan senaman.

Malah, senaman juga membolehkan dia berjalan semula selepas terlantar dan hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda selama tiga tahun akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya yang mencederakan tulang belakang.

Jika berdasarkan pandangan doktor yang merawatnya, Zulkifli akan lumpuh buat selama-lamanya. Namun pensyarah sukan ini tidak mahu percaya.

Dia yakin, setiap penyakit ada ubatnya dan mula membaca pelbagai jenis buku mengenai senaman yang diyakini mampu membantu pesakit lumpuh untuk berjalan semula.

Persoalannya, bilakah waktu sesuai untuk bersenam? Kata Zulkifli, kita boleh bersenam pada bila-bila masa mengikut kelapangan seseorang.

Namun, jika mahu bersenam pada waktu pagi, sebaik-baiknya pilih senaman lembut dan mementingkan teknik pernafasan seperti berjalan, tai chi dan chi gong.

Kalau mahu berjoging juga boleh, tetapi tidak terlalu lama. Manakala pada waktu petang pula boleh melakukan senaman lebih aktif dan lasak. Tidak kira apa juga jenis senaman dipilih, paling penting ia perlu dimulakan dengan senaman memanaskan badan dan regangan bagi mengelak kecederaan otot ketika bersenam.

Untuk mendapat kesihatan menyeluruh, empat asas senaman perlu difahami iaitu:

  • Senaman untuk sistem kardiovaskular (jantung) — seperti berjalan, berjoging, berenang, menari, berbasikal, bermain tenis atau badminton.



  • Latihan kekuatan — untuk mengekalkan keanjalan otot dan sendi. Ini termasuk senaman mengangkat beban seperti dumbel atau botol berisi air. Senaman angkat beban juga perlu dilakukan pada kaki.



  • Senaman kelembutan — sebaik-baiknya dilakukan sebelum dan selepas setiap kali bersenam.


  • Senaman untuk melatih pernafasan — seperti tai chi, chi gong dan yoga.


  • Menurutnya, setiap bahagian ini boleh dilakukan secara berasingan atau bersama. Contohnya, jika hari pertama berjoging (untuk kardiovaskular), hari kedua boleh melakukan latihan kekuatan diikuti yoga pada hari seterusnya.


  • Yang penting ialah perlu ada kepelbagaian dalam senaman. Kepelbagaian ini sebenarnya memberi cabaran baru kepada badan dan ia perkara paling penting, khususnya bagi individu yang mahu mengurangkan berat badan.


  • Ini kerana senaman sama memberi kesan plateau iaitu berat badan tidak berkurang selepas satu tempoh, walaupun individu berkenaan bersenam setiap hari. Perubahan corak senaman ‘mencabar’ badan untuk membakar lebih banyak lemak dan membina otot.


  • Selain itu, individu yang bersenam kerana mahu mengurangkan berat badan juga diingatkan supaya tidak cepat kecewa jika melihat berat badan mereka mungkin bertambah sedikit selepas beberapa minggu bersenam.


  • Ketika lemak dibakar, senaman merangsang penghasilan otot. Otot lebih berat daripada lemak dan ini sebabnya ada kalanya berat badan bertambah sedikit apabila kita melakukan senaman secara teratur, sebaliknya bentuk badan menjadi lebih cantik.


  • Bagaimana caranya untuk mengetahui sama ada senaman yang kita lakukan itu cukup atau tidak? Jawapannya mudah. Senaman yang mencukupi akan membuat kita segar, cergas, daya tumpuan meningkat dan dapat berfikir dengan baik serta cepat.


  • Sebaliknya jika tidak cukup (atau terlalu sedikit) badan kurang merasa nikmatnya. Jika berlebihan pula, kita berasa penat dan mengantuk, terutama sekitar jam 11 pagi hingga 12 tengah hari.


  • “Senaman juga perlu dilakukan mengikut kemampuan masing-masing. Ia mesti sederhana dan seimbang dengan semua aspek kehidupan lain. Paling penting, senaman perlu dimulakan dari usia muda, lebih baik ketika di bangku sekolah.


  • “Sedihnya, di negara kita latihan jasmani tidak dianggap sebagai mata pelajaran penting tetapi hanya untuk pelengkap jadual waktu. Malah, guru senaman tidak mendapat pendidikan formal, sedangkan senaman diakui boleh menjadi kaedah penjagaan kesihatan paling berkesan,” katanya.
  • 0 comments:

    Post a Comment

     

    Blog Template by YummyLolly.com - Header made with PS brushes by gvalkyrie.deviantart.com
    Sponsored by Free Web Space