Monday, February 9, 2009

Kisah Dongeng dlm perkahwinan

Kajian mendapati, perkahwinan memberi kelebihan yang sama dalam pelbagai segi kepada lelaki dan perempuan. Lelaki mendapati kesihatan mereka bertambah baik berbanding sebelumnya. Manakala bagi orang perempuan, kelebihan dari sudut kewangan.

Satu kajian yang dibuat oleh profesor sosiologi bernama David Popenoe dari Universiti Rutgers, New Brunswick, New Jersey, Amerika, berkata terdapat beberapa dongengan yang dianggap benar dan menjejaskan kualiti hidup pasangan.

Dongeng-dongeng ini secara langsung meningkatkan rasa curiga terhadap pasangan, menjadikan masing-masing melihat kelemahan berbanding kelebihan pasangan dan mereka secara langsung mengesahkan kebenaran dongengan itu dalam hidup mereka.

David Popenoe yang juga pengarah bersama Projek Perkahwinan Nasional telah melakukan kajian terhadap corak hidup kekeluargaan moden dan telah mengenalpasti beberapa andaian berikut.

Kajian ini menunjukkan memberi informasi kepada pasangan yang ingin saling memikat hati pasangan bagi mengenalpasti apa yang dianggap dongeng dan apa yang dianggap benar dalam hubungan mereka sebelum dan semasa berkahwin.

Dongeng pertama.

“Bercinta untuk tempoh beberapa lama sebelum berkahwin akan membuat kami serasi.”


Kajian David Popenoe mendapati ramai yang berkelakuan dan gelagat seperti suami isteri sebelum berumah tangga menyangka mereka lebih bahagia apabila mendirikan rumahtangga.

Aktiviti-aktiviti itu menurut respon pasangan ialah bagi menyesuaikan diri dan sifat mereka apabila berkahwin kelak.

Hasil yang didapati oleh David Popenoe yang juga penulis sembilan buku buku antaranya Life Without Father: Compelling New Evidence That Fatherhood and Marriage Are Indispensable for the Good of Children dan Society and Promises to Keep: Decline and Renewal of Marriage in America adalah sebaliknya.

Sikap saling sokong menyokong dan mengurus konflik didapati lebih rendah selepas mereka berumah tangga.

Kajian dibuat mendapati pasangan yang mempunyai gelagat seperti ini lebih tinggi peratusnya sikap tidak puas hati terhadap perkahwinan, tidak ada komitmen yang tinggi seperti sebelum berkahwin dan lebih ramai berakhir dengan perpisahan.

Dongeng kedua.

“Kami bahagia kerana nasib.”


Meletakkan kebahagiaan keluarga kepada nasib samalah seperti tidak berbuat apa-apa. Rasa bahagia pasangan datang daripada komitmen dan melihat hidup secara bersama dalam satu kumpulan.

Leo Buscaglia, penulis buku Love berkata cinta adalah perbuatan. Jika kita mahukan cinta, kita bekerja bagi mendapatkanya. Cinta tidak datang dengan hanya duduk menunggu, sesuatu perlu dilakukan.

David Popenoe berkata, komitmen pasangan samalah seperti komitmen apabila membina persahabatan. Masing-masing berkongsi nilai hidup, minat dan kehidupan bersama-sama.

Masing-masing berusaha menjadi magnet diri bagi kekal dalam momentum kehidupan berpasangan yang lebih memuaskan dan menggembirakan.

Melalui kerja keras sesama pasangan dan memberi ruang hidup peribadi agar boleh dikongsi pasangan merupakan formula bahagia dalam keluarga. Masing-masing perlu bekerja jika mahukan sesuatu untuk memenuhi keperluan jiwa mereka.

Dongeng ketiga.

“Anak menjadikan kami lebih akrab, bahagia dan gembira.”


Berlaku keadaan mengelirukan apabila keluarga berhadapan dengan stres dan hubungan suami-isteri menjadi rengang selepas mempunyai anak. Keadaan ini berlaku apabila anak dilihat sebagai faktor keluarga lebih akrab, bahagia dan gembira.

Tetapi sangkaan ini selalu dibiarkan tanpa disusuli dengan tindakan. Biasanya ia berlaku apabila keluarga mula menerima anak pertama. Keadaan ini menurut David Popenoe tidak membawa peratusan penceraian yang tinggi. Sebaliknya ia membawa keadaan biasa sahaja dalam rumah tangga. Tidak ada suasana yang disebut sebagai sparks atau kehangatan rumah tangga.

Suami melihat peranan isteri masih menjadi pemain utama dalam mengendali keluarga. Isteri mula fokus kepada bayi dan mengurangkan tumpuan kepada suami. Kedudukan suami berada di tempat ketiga selepas anak.

Keadaan ini menjadikan suami rengang dengan pasangan. Suami seolah-olah perlu berlumba-lumba dengan si anak bagi mendapatkan perhatian isteri.

Anak tetap menjadi pendorong kebahagiaan keluarga jika fokus terhadap suami tidak menyimpang dan kekal sama.

Dongeng keempat.

“Jika berkahwin, suami saya lebih beruntung berbanding saya.”


Orang perempuan percaya lelaki lebih beruntung dalam perkahwinan. Orang lelaki pula percaya mereka mendapat lebih berbanding apa yang dimiliki pasangan dalam perkahwinan.

Kesan daripada andaian ini, masing-masing merasakan mereka berada dalam keadaan rugi apabila berkahwin. Masing-masing mengandaikan mereka kehilangan sesuatu apabila berkahwin.

Kajian mendapati, perkahwinan memberi kelebihan yang sama dalam pelbagai segi kepada lelaki dan perempuan. Lelaki mendapati kesihatan mereka bertambah baik berbanding sebelumnya. Manakala bagi orang perempuan, kelebihan dari sudut kewangan. Masing-masing mendapat kelebihan dalam sudut berbeza.

Bagi pasangan yang berkahwin lebih 40 tahun sejak tahun 1963, pasangan bernama Sheri dan Bob Stritof melalui segala masam manis perkahwinan. Mereka pernah bercerai selama dua tahun dan kembali mengikat kembali ikatan perkahwinan. Mereka mempunyai empat orang anak. Selama 30 tahun kajian perhubungan pasangan, Sheri dan Bob Stritof menyenaraikan beberapa lagi dongengan tidak berasas dalam perkahwinan.

Sherif dan Bob Stritof yang juga penulis buku The Everything Great Marriage Book menyenaraikan dongeng-dongeng berikut.

Dongeng kelima.

“Kami mesti boleh membaca fikiran satu sama lain setiap masa.”


Meskipun dikatakan pasangan seolah-olah boleh membaca fikiran antara satu sama lain setiap masa, ia tidak bermakna perkara itu berlaku setiap masa. Sebagai individu, lelaki dan perempuan masih mempunyai karakter yang berbeza.

Ada perkara yang perlu disampaikan secara verbal apabila pasangan mengkehendaki sesuatu. Ada pasangan kecewa apabila dirinya tidak difahami dan jangkaan agar si dia dapat membaca fikiranya tidak menjadi. Ada masanya ia berlaku, tetapi ada masanya kita perlu memberitahu.

Dongeng keenam

“Kami pecinta sejati maka kami tidak akan ada masalah.”


Pecinta sejati hidupnya sempurna tanpa masalah. Fikirkan kembali kenyataan ini. Potensi manusia tidak lengkap tanpa ada masalah. Masalah mencetus situasi berfikir, membentuk rasa memerlukan sesuatu, mencipta keinginan bersandar kepada seseorang dan membina daya pemikiran individu.

Masalah dalam rumahtangga yang ditangani bersama memberi nilai tambah dalam hidup pasangan. Masalah juga membuka kepada identiti dan pendirian sebenar seseorang.

Mereka yang baik tidak terlepas daripada ujian. Ujian yang dilalui dengan positif mencipta kualiti kepada diri dan kepada pasangan. Individu yang baik tetap diuji.

Tuhan berkata dalam surah al Ankabut ayat 2, Apakah manusia itu menyangka mereka dibiarkan saja apabila mereka berkata, "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?

Dongeng ketujuh.

Orang berkahwin mesti membuat semua aktiviti bersama-sama.

Ya dan tidak. Jawapan ya jika kita berkata pasangan melakukan aktiviti bersama-sama dan jawapan tidak kerana bukan semua perkara dilakukan bersama-sama.

Meskipun sudah berumahtangga, masing-masing masing mempunyai ruang melakukan sesuatu yang dianggap sebagai ruang peribadi. Aktiviti persendirian ini ada yang boleh diadaptasi oleh pasangan dan ada yang tidak. Meskipun tidak disertai oleh pasangan, itu tidak bermakna pasangan tidak ambil tahu aktiviti berkenaan.

Aktiviti perseorangan datangnya sebelum berkahwin lagi. Ia berpunca daripada hobi dan bakat semulajadi yang dimiliki oleh pasangan. Masing-masing mempunyai waktu personal bagi mereka melakukan sesuatu tanpa penglibatan pasangan dan perkara ini adalah keadaan biasa.

Dongeng kelapan.

Ada wang semua masalah dalam perkahwinan selesai


Kajian mendapati wang bukanlah faktor bahagia dan wang tidak meningkatkan tahap bahagia. Profesor Peter Ubel dari Universiti Michigan dalam hasil kajian terhadap respondan menunjukkan kurang daripada satu peratus percaya bahagia dan wang saling berkait rapat.

Kajian ini juga menunjukkan para responden melihat perhubungan pasangan berdiri sendiri tanpa melibatkan wang. Kajian yang disiarkan dalam laman web Forbes pada September 2004 membuktikan sebarang masalah dalam perhubungan tidak menjadikan wang sebagai penyelesai mutlak.

Dongeng kesembilan.

“Latar belakang ahli keluarganya tidak mempengaruhi perkahwinan saya.”


Personaliti pasangan banyak dipengaruhi oleh kuasa dominan dari rumah. Percintaan bermula dengan pertemuan bakal pasangan yang diminati, kemudian perhubungan terus berkembang melibatkan diri dengan orang di sekitarnya. Fenomena cinta sedikit sebanyak dipengaruhi oleh keluarga.

Peranan ibu dan ayah memberi kesan dari sudut persepsi pasangan kita dalam memahami cinta. Istilah cinta lebih terjemah kepada istilah kasih sayang untuk menggambarkan hubungan emosi antara ahli keluarga. Kasih sayang yang terbentuk dalam keluarga mempunyai impak tersendiri.

Satu kajian telah dibuat di universiti Connecticut oleh Ronald Rohner dan Robert Veneziano. Didapati kesan kasih sayang seorang ayah terhadap anaknya banyak mempengaruhi sikap dan pemikiran anaknya.

Dalam kajian antara tahun 1960 sehingga tahun 1970-an, mereka mendapati kasih sayang seorang ayah menjadi sebahagian daripada pembinaan kanak-kanak dan melengkapi separuh bahagian kasih sayang seorang ibu.

Kajian tersebut dipecahkan kepada enam kategori dengan memisahkan peranan ibu dalam mengenalpast jenis hasil yang terbentuk melalui kasih sayang seorang bapa. Kanak-kanak tersebut membesar dengan keadaan yang lebih sempurna dan positif apabila nilai kasih sayang ibu bapa disatukan dalam proses pendidikan dan penjagaannya.

Dongeng kesepuluh.

“Jika pasangan berkonflik tanda perkahwinan mereka gagal.”


Konflik tidak bermaksud keretakan rumahtangga. Ia berlaku apabila pasangan masing-masing cuba menyelesaikan satu situasi dengan pendekatan berbeza. Apabila suami dan isteri mempunyai jalan penyelesaian berbeza bagi satu situasi, di situ timbul konflik. Ia petanda masing-masing mengambil inisiatif menyelesaikan masalah dalam rumahtangga.

1 comments:

Anonymous said...

marilah bercinta lepas berkahwin..hihi..

Post a Comment

 

Blog Template by YummyLolly.com - Header made with PS brushes by gvalkyrie.deviantart.com
Sponsored by Free Web Space