Sunday, December 14, 2008

Pesanan buat lelaki

Jangankan lelaki biasa, nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki, tetapi kalau lelaki sendiri yang tidak lurus, tidak mungkin mampu untuk meluruskan mereka. Tidak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayng-bayang yang lurus.

Luruskanlah wanita dengan cara yang ditunjukkan Allah, kerana mereka dicipta sebegitu rupa olehNYA. Didiklah mereka dengan panduan darinya. Jangan cuba jinakkan mereka dengan harta, nanti mereka semakin liar. Jangan hiburkan mereka dengan kecantikan, nanti mereka semakin menderita. Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada Allah, zat yang kekal, disitulah suisnya.

Akal setipis rambutnya, tebalkan dengan ilmu, hati separuh kaca, kuatkan dengan iman. Perasaan selembut sutera, hiasilah dengan akhlak. Suburkanlah jiwa mereka dengan sifat-sifat murni kerana dari situlah nanti mereka akan nampak nilaian dan keadilan tuhan. Akan terhibur dan bahagialah hati mereka, walaupun mereka tidak bergelar ratu cantik dunia, presiden mahupun perdana menteri Negara atau wanita gladiator.

Bisikkanlah ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan satu kelemahan. Itu bukan diskriminasi tuhan. Sebaliknya disitulah kasih sayang tuhan, kerana rahim wanita yang lembut itulah yang mengandungkan lelaki-lelaki waja, negarawan, karyawan, jutawan dan pelbagai wan-wan lagi.

Ingatkanlah wanita agar jangan lupa hakikat kejadiannya. Mereka yang lupa pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan. Tanpa ilmu, akhlak dan iman, mereka bukan sahaja tidak boleh diluruskan, bahkan mereka pula yang membengkokkan. Lebih ramai lelaki yang dirosakkan oleh perempuan daripada perempuan yang dirosakkan oleh lelaki. Sebodoh-bodoh perempuan pun boleh menundukkan sepandai-pandai lelaki.

Usah biarkan wanita hanyut dalam dunia kepura-puraannya. Usah biarkan mereka bermaharajalela dengan mengusung tinggi egonya, kelak anak pun akan kehilangan ibu, suami kehilangan isteri dan bapa kehilangan puterinya. Apabila wanita menderhaka, dunia lelaki akan huru-hara.apabila tulang rusuk patah, rosaklah jantung, hati dan limpa. Para lelaki pula jangan hanya mengharap ketaatan tetapilah binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah, pimpinlah diri sendiri dulu kepadaNYA, jinakkan diri kepada Allah, nescaya akan jinaklah segala-galanya dibawah pimpinan lelaki.

Jangan mengharap isterimu seperti Siti Fatimah jika peribadimu belum lagi seperti Saidina Ali.

0 comments:

Post a Comment

 

Blog Template by YummyLolly.com - Header made with PS brushes by gvalkyrie.deviantart.com
Sponsored by Free Web Space